Cari Blog Ini

Jumaat, Disember 03, 2010

IKHLAS ... KUCARIMU DI MANA?

Keikhlasan nan tercalar
Pabila kesabaran mula menghindar
Lemah dan tunduk tanpa sedar
Bisikan syaitan nan tak pernah pudar
Menawan kalbu hamba nan ingkar.

Keikhlasan nan terhakis
Kerana hati tak bisa menangis
Pujukan dan rayumu wahai sang iblis
Ketipisan iman tak bisa menepis.

Lalu...
Lerailah budi,lenyaplah jasa
Segunung budi selaut jasa
Ganjaran dinanti tak kunjung tiba
Ganjaran melayang di tingkap terbuka
Dosa menerpa di hati bertakhta
Budi dan jasa sia-sia semata
Ibadat dilaksana jerih segala.

Aduhai...
Sukarnya mencari keikhlasan
Perit dan getirnya menebal keimanan
Lalu aku kembali kepada pokok pangkal dan dasarnya
Di sinilah...

Kupohon pada-Mu walau dalam susah
Kupohon pada-Mu walau dalam payah
Ikhlas itu rahsia Allah
Mudah-mudahan padaku
Rahmat-Mu tercurah.

- Artikel iluvislam.com

ILMU PERLU DIAMALKAN


AKTIVITI SEMASA CUTI

Assalamualaikum, adik-adik.

Cuti persekolahan yang agak panjang ini jika tidak dimanfaatkan mungkin akan berlalu begitu sahaja dengan sia-sia. Justeru, anda seharusnya mengisi masa lapang ini dengan melakukan perkara-perkara yang lebih berfaedah serta mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan juga keluarga.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

1. Membanti ibu dan bapa di rumah seperti mengemas rumah, menyiram pokok bunga, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan longkang di sekeliling rumah, dan membersihkan kawasan sekeliling rumah.

2. Mengulang kaji pelajaran yang telah lepas dan membaca buku teks yang telah dibekalkan oleh pihak sekolah untuk persediaan sesi persekolahan 2011.

3. Pergi ke perpustakaan untuk membaca buku atau majalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

4. Melancong ke tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat peranginan, atau melawat nenek dan datuk di kampung (jika tinggal di bandar).

5. Mengunjungi rumah rakan-rakan sekolah untuk mengeratkan hubungan silaturahmi sambil berbincang tentang pelajaran.

6. Melakukan hobi yang berfaedah seperti melukis, mengumpul setem, mengumpulkan keratan akhbar yang berguna untuk pelajaran, bersukan dan sebagainya.

Semoga cuti persekolahan ini akan menyerobokkan anda tetapi pada masa yang sama banyak mendatangkan kebaikan untuk anda dan keluarga anda.

"Selamat Bercuti"

Rabu, Disember 01, 2010

HARI KECEMERLANGAN 2010


Hari Kecemerlangan SK Batu Laut yang gilang-gemilang



Murid-murid cemerlang UPSR mendapat penghargaan. Syabas dan tahniah kepada anda semua. Anda kebanggan SKBL.


Penulis sedang berehat bersama sahabat, Encik Mahadi. (Pengerusi dan Naib Pengerusi KKGK)



Tokoh Murid dan Tokoh Kokurikulum menerima anugerah.

Tokoh Murid Lelaki:
Muhammad Redhuan bin Mohd Jamri

Tokoh Murid Perempuan:
Farezza Shazreen binti Mohd Sapawi

Tokoh Kokurikulum Lelaki:
Muhammad Afiq bin Hamidi

Tokoh Kokurikulum Perempuan:
Fatin Iffan Irdina binti Azli

TAHNIAH!!!



Hari Kecemerlangan SK Batu Laut telah diadakan pada 16 November 2010 bersamaan hari Selasa. Perasmi yang hadir ialah Datin Sri Azlina bt Ahmad, isteri kepada YB. Ir. Dato' Sri Mohamad Zain bin Mohamad.

TAHNIAH, ANDA TELAH BERJAYA!!!

Tahu 2010, SK Batu Laut sekali lagi telah melakarkan sejarah yang membanggakan. Sebanyak 9 orang calon yang menduduki UPSR pada tahun ini telah berjaya memperoleh 5A. Peratus keseluruhan sekolah ini juga telah meningkat. Alhamdulillah, ini adalah hasil kerja keras semua pihak; pentadbir, guru-guru, murid-murid dan juga ibu bapa. Syabas!!!



Murid-murid cemerlang dengan bangganya menunjukkan slip keputusan UPSR. Syabas dan tahniah kepada mereka.

Murid-murid cemerlang 2010:

Muhammad Redhuan bin Mohd Jamri
Muhammad Zaki bin Ghazali
Muhammad Amirul Arif bin Subandi
Khair Sirajuddin bin Samsuri
Farezza Shazreen binti Mohd sapawi
Fatin Iffah Irdina binti Azli
Azizah Huzaimah binti Lukman
Nurul Izwani binti Jaidi
Maizatul Atiqah binti Abd Jalil


Selasa, November 30, 2010

SESI PERSEKOLAHAN 2010 MELABUHKAN TIRAINYA ...

Kini cuti persekolahan pun bermula. Murid-murid Tahun Enam bakal menamatkan persekolahan di sekolah rendah dan bakal naik ke Tingkatan Satu yang pastinya lebih mencabar. Terlebih dahulu, belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada murid-murid Tahun 6 di seluruh negara yang telah berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR. TAHNIAH !!!
Sesungguhnya, apa yang anda peroleh itu adalah bukti bahawa segala usaha, kesungguhan, keazaman, doa dan keyakinan anda kini membuahkan hasil. Namun demikian, dalam anda meraikan kegembiraan itu, janganlah anda lupa akan jasa dan pengorbanan guru-guru yang telah mendidik dan membimbing anda bermula daripada Prasekolah sehinggalah ke Tahun 6. Janganlah anda hanya berterima kasih kepada guru-guru Tahun 6 sahaja, kerana asas yang kukuh telah dibina oleh guru-guru anda di Prasekolah sehingga Tahun 5. Namun, sekalung penghargaan harus diberikan kepada barisan guru Tahun 6 yang begitu tekun dan komited tanpa mengenal erti bosan dan jemu untuk membimbing dan mendidik murid-murid Tahun 6 sehingga mencapai kejayaan yang begitu hebat ini. Tahniah kepada rakan guru Tahun 6.

Apa matlamat anda selepas ini?
Sudahkah anda mengisi borang untuk memasuki Sekolah berasrama Penuh, atau MRSM? Jika sudah, bagus. saya mendoakan semoga anda akan berjaya.
Kepada calon-calon UPSR yang gagal mendapat 5A, usahlah anda bersedih kerana sebenarnya anda masih mempunyai peluang untuk berjaya sama ada dalam peperiksaan PMR atau SPM. Gandakan usaha anda dan jadikan kegagalan sebagai pendorong dan batu loncatan untuk berjaya dengan lebih cemerlang pada masa akan datang. Anda BOLEH!!!
Bagaimana pula dengan murid-murid Tahun 5 yang bakal naik ke tahun 6?
Sudahkah anda bersedia?
Saya berharap agar cuti persekolahan yang agak panjang ini anda gunakan untuk mengulang kaji topik-topik Tahun 4 dan Tahun 5. Beli buku latihan dan buat latihan untuk memantapkan pengetahuan anda.

Akhir kata, "SELAMAT BERCUTI, SELAMAT MENGULANG KAJI".

Khamis, Mac 11, 2010

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAWAB BAHAGIAN C

LANGKAH 1

Baca arahan dengan teliti untuk memahami kehendak arahan sama ada kamu perlu mengulas tentang Pengajaran, Nilai Murni atau Amalan Baik

LANGKAH 2

Baca petikan dengan teliti. Sekurang-kurangnya 2 kali (sehingga faham)

LANGKAH 3

Garisi maklumat-maklumat yang tersirat atau tersurat berkaitan perkara yang dikehendaki oleh arahan tadi.

LANGKAH 4

Pilih 5 maklumat yang paling mudah untuk diberikan huraian atau tafsiran

LANGKAH 5

Tuliskan ulasan kamu selengkapnya. Masukkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai untuk menjadikan ulasan kamu lebih gramatis. Pastikan ulasan kamu tidak melebihi 60 patah perkataan.

LANGKAH 6

Semak semula ulasan yang telah dibuat. Pastikan tiada kesalahan ejaan, struktur ayat, maklumat yang terdapat dalam petikan, dan ulasan tidak melebihi 60 patah perkataan. Jika ada kesalahan, betulkan dan murnikan.

LATIHAN MINGGU INI

BAHAGIAN C

Tulis lima nilai murni yang terdapat dalam petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak melebihi 50 patah perkataan.
Tuliskan jawapan kamu dalam satu perenggan.

Amin seorang murid Tahun 6. Setiap pagi dia bangun awal dan membantu ibunya membungkus nasi lemak. Apabila waktu solat Subuh telah masuk, Amin segera pergi ke masjid bersebelahan rumahnya untuk menunaikan solat berjamaah. Kemudian, dia pulang ke rumah dan bersedia untuk pergi ke sekolah. Sebelum melangkah turun dari rumah, Amin akan mengucup tangan ibunya terlebih dahulu dan mengambil bekalan yang disediakan oleh ibu.

Apabila sampai di sekolah, Amin terus menuju ke kelasnya. Dia akan membersihkan kelasnya dan menyusun meja serta kerusi di dalam kelasnya agar tersusun dan kemas. Sebagai seorang pengawas, Amin akan bertugas di tempat yang telah ditetapkan. Dia dan seorang lagi rakannya bertugas di pintu utama. Jika ada murid yang datang lewat, Amin akan menegur murid berkenaan dan mencatatkan nama mereka di dalam buku catatannya. Jika murid yang sama mengulangi kesalahan yang sama, Amin akan memaklumkannya kepada Guru Disiplin.

Rabu, Februari 17, 2010

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAWAB BAHASA MELAYU BAHAGIAN B

LANGKAH 1

Baca setiap soalan yang dikemukakan dengan teliti.

LANGKAH 2

Garisi "KUNCI SOALAN" pada setiap soalan. Kunci soalan merupakan arahan yang biasanya terdapat pada ayat terakhir soalan yang diberi.
Contoh kunci soalan: Ceritakan pengalaman kamu ..., Tuliskan laporan tersebut ..., Mulakan karangan kamu dengan ..., Tuliskan sayarahan kamu ..., dan lain-lain. Kunci soalan akan menentukan jenis karangan, format karangan (jika ada) dan kehendak karangan.

LANGKAH 3


Pilih hanya satu soalan sahaja. Pilihlah soalan yang paling mudah, pernah dipelajari di dalam kelas, pernah terbaca atau menjawab soalan yang hampir sama, mempunyai isi-isi yang cukup, tahu formatnya dan mampu menulis karangan itu sehingga habis dengan penuh keyakinan.

LANGKAH 4

Kumpulkan isi-isi penting dengan menggunakan Peta Minda.

LANGKAH 5

Tuliskan karangan selengkapnya dengan berpandukan Peta Minda yang telah dibuat. Sesebuah karangan yang lengkap mestilah mempunya Pendahuluan, 4 perenggan isi dan penutup. Kembangkan isi-isi dengan menambahkan kata hubung, penanda wacana, imbuhan-imbuhan yang sesuai serta perkataan-perkataan yang sesuai dengan tajuk yang dipilih.

LANGKAH 6

Buat semakan dan pemurnian. Semak ejaan, struktur ayat serta tanda baca. Buat pemurnian sekiranya kamu tidak berpuas hati atau terdapat sebarang kesalahan.

SOALAN MINGGU INI

BAHAGIAN B

[Masa dicadangkan: 40 minit]
[30 markah]

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah dan tuliskan karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

1 Kamu telah menerima surat daripada sahabat pena kamu yang menceritakan perpindahannya ke sebuah sekolah yang baharu.
Balas surat sahabat pena kamu itu.

ATAU

2 Ibu saudara kamu telah menjemput kamu sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan anaknya.
Tuliskan sebuah karangan yang menggambarkan suasana majlis perkahwinan itu.

ATAU

3 Tuliskan cara-cara yang dapat dilakukan untuk mengatasi kejadian ragut yang semakin menjadi-jadi pada masa ini.


Nota:
Tuliskan jawapan kamu dengan klik "ulasan" di bawah ruang soalan ini.
Selamat mencuba semoga kamu akan semakin cemerlang.

Khamis, Februari 04, 2010

Soalan Latihan Minggu Ini

BAHAGIAN A

[Masa dicadangkan: 15 minit]
[10 Markah]




Tulis lima ayat yang lengkap berdasarkan gambar di bawah.





BAHAGIAN B

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah dan tuliskan seebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

1 Kamu sedang belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Kamu memerlukan sejumlah wang untuk membeli beberapa buah buku rujukan. Tuliskan sepucuk surat kepada ayah kamu untuk meminta wang tersebut.

ATAU

2 Sekolah kamu telah mengadakan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Kamu telah diminta untuk menuliskan sebuah laporan tentang majlis tersebut. Tuliskan laporan kamu selengkapnya.

ATAU

3 Kamu dan beberapa orang kawan kamu dalam perjalanan pulang dari sekolah. Apabila sampai di sebuah persimpangan jalan, kamu telah menyaksikan satu kemalangan jalan raya yang dahsyat. Tuliskan pengalaman kamu dan kawan-kawan kamu.

Sila tuliskan jawapan kamu dalam ruangan "Comment" di bawah. Saya akan memeriksan jawapan kamu dan seterusnya memberikan markah.

Ruangan ini adalah "PERCUMA". Tiada sebarang kos tersembunyi.

Sumbangan ikhlas daripada saya.