Cari Blog Ini

Selasa, November 30, 2010

SESI PERSEKOLAHAN 2010 MELABUHKAN TIRAINYA ...

Kini cuti persekolahan pun bermula. Murid-murid Tahun Enam bakal menamatkan persekolahan di sekolah rendah dan bakal naik ke Tingkatan Satu yang pastinya lebih mencabar. Terlebih dahulu, belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada murid-murid Tahun 6 di seluruh negara yang telah berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR. TAHNIAH !!!
Sesungguhnya, apa yang anda peroleh itu adalah bukti bahawa segala usaha, kesungguhan, keazaman, doa dan keyakinan anda kini membuahkan hasil. Namun demikian, dalam anda meraikan kegembiraan itu, janganlah anda lupa akan jasa dan pengorbanan guru-guru yang telah mendidik dan membimbing anda bermula daripada Prasekolah sehinggalah ke Tahun 6. Janganlah anda hanya berterima kasih kepada guru-guru Tahun 6 sahaja, kerana asas yang kukuh telah dibina oleh guru-guru anda di Prasekolah sehingga Tahun 5. Namun, sekalung penghargaan harus diberikan kepada barisan guru Tahun 6 yang begitu tekun dan komited tanpa mengenal erti bosan dan jemu untuk membimbing dan mendidik murid-murid Tahun 6 sehingga mencapai kejayaan yang begitu hebat ini. Tahniah kepada rakan guru Tahun 6.

Apa matlamat anda selepas ini?
Sudahkah anda mengisi borang untuk memasuki Sekolah berasrama Penuh, atau MRSM? Jika sudah, bagus. saya mendoakan semoga anda akan berjaya.
Kepada calon-calon UPSR yang gagal mendapat 5A, usahlah anda bersedih kerana sebenarnya anda masih mempunyai peluang untuk berjaya sama ada dalam peperiksaan PMR atau SPM. Gandakan usaha anda dan jadikan kegagalan sebagai pendorong dan batu loncatan untuk berjaya dengan lebih cemerlang pada masa akan datang. Anda BOLEH!!!
Bagaimana pula dengan murid-murid Tahun 5 yang bakal naik ke tahun 6?
Sudahkah anda bersedia?
Saya berharap agar cuti persekolahan yang agak panjang ini anda gunakan untuk mengulang kaji topik-topik Tahun 4 dan Tahun 5. Beli buku latihan dan buat latihan untuk memantapkan pengetahuan anda.

Akhir kata, "SELAMAT BERCUTI, SELAMAT MENGULANG KAJI".