Cari Blog Ini

Khamis, Mac 11, 2010

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAWAB BAHAGIAN C

LANGKAH 1

Baca arahan dengan teliti untuk memahami kehendak arahan sama ada kamu perlu mengulas tentang Pengajaran, Nilai Murni atau Amalan Baik

LANGKAH 2

Baca petikan dengan teliti. Sekurang-kurangnya 2 kali (sehingga faham)

LANGKAH 3

Garisi maklumat-maklumat yang tersirat atau tersurat berkaitan perkara yang dikehendaki oleh arahan tadi.

LANGKAH 4

Pilih 5 maklumat yang paling mudah untuk diberikan huraian atau tafsiran

LANGKAH 5

Tuliskan ulasan kamu selengkapnya. Masukkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai untuk menjadikan ulasan kamu lebih gramatis. Pastikan ulasan kamu tidak melebihi 60 patah perkataan.

LANGKAH 6

Semak semula ulasan yang telah dibuat. Pastikan tiada kesalahan ejaan, struktur ayat, maklumat yang terdapat dalam petikan, dan ulasan tidak melebihi 60 patah perkataan. Jika ada kesalahan, betulkan dan murnikan.

LATIHAN MINGGU INI

BAHAGIAN C

Tulis lima nilai murni yang terdapat dalam petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak melebihi 50 patah perkataan.
Tuliskan jawapan kamu dalam satu perenggan.

Amin seorang murid Tahun 6. Setiap pagi dia bangun awal dan membantu ibunya membungkus nasi lemak. Apabila waktu solat Subuh telah masuk, Amin segera pergi ke masjid bersebelahan rumahnya untuk menunaikan solat berjamaah. Kemudian, dia pulang ke rumah dan bersedia untuk pergi ke sekolah. Sebelum melangkah turun dari rumah, Amin akan mengucup tangan ibunya terlebih dahulu dan mengambil bekalan yang disediakan oleh ibu.

Apabila sampai di sekolah, Amin terus menuju ke kelasnya. Dia akan membersihkan kelasnya dan menyusun meja serta kerusi di dalam kelasnya agar tersusun dan kemas. Sebagai seorang pengawas, Amin akan bertugas di tempat yang telah ditetapkan. Dia dan seorang lagi rakannya bertugas di pintu utama. Jika ada murid yang datang lewat, Amin akan menegur murid berkenaan dan mencatatkan nama mereka di dalam buku catatannya. Jika murid yang sama mengulangi kesalahan yang sama, Amin akan memaklumkannya kepada Guru Disiplin.