Cari Blog Ini

Isnin, Ogos 03, 2009

Guru Dahulu ... dan Guru Hari Ini ...

Guru Dahulu ...
Seingat aku, guru yang mengajar aku dahulu memang kebanyakan 'garang'. Aku sendiri pernah kena lempang di pipi oleh seorang guru yang namanya pun masih aku ingat iaitu Cikgu Lee Nyit Fong. Itu gara-gara aku telah menyapukan gam terlebih banyak di atas kertas lukisan untuk dibuat kolaj. Mujur, aku tak pengsan kerana penangannya memang kuat dan badan aku ketika itu ... comel. Tetapi, aku tak marah dan apabila balik ke rumah pun aku tidak menceritakan apa yang aku alami kepada mak dan abah.

Guru dahulu ...
Apabila mengajar memang bersungguh-sungguh dan akan diulang-ulang sampai bebarapa kali dengan matlamat semua muridnya boleh dapat apa yang diajarkan. Rotan menjadi senjata utama untuk memotivasikan murid belajar. Sesiapa yang tak boleh jawab atau tak boleh baca, rotan akan singgah sama ada di tapak tangan atau di punggung. Hari esoknya, muird yang kena rotan itu pasti dah boleh baca. Anehnya, tak seorang pun mak bapak yang datang sekolah buat aduan anak kena rotan atau kena cubit.

Guru Dahulu ...
Datang sekolah naik motosikal lama. Dari jauh bunyinya pun sudah dikenali. Kalau yang perempuan, bunyi hentakan tumit kasutnya sudah dapat ditelek siapa orangnya. Apabila bersemuka dengan guru, cepat-cepat melengcong ke jalan lain sebab takut nak menatap wajah cikgu.

Tetapi ...

Guru Hari Ini ...
Hari pertama mendaftar diri di sekolah, dah kena tersenyum dan bermanis muka. Masuk dalam kelas sahaja anak muird dan serbu, ada yang berani pegang tangan, cuit bahu, usik rambut, tegur tudung dan kerongsang dan bertanya pelbagai soalan tanpa perasaan takut. Cikgu dah jadi kawan. Kadang-kadang, keterlaluan pula perlakuan murid-murid terhadap gurunya. Tetapi, guru baharu, hanya boleh berkata, "Tak pelah", "Its OK", "Alringht", dan macam-macam lagi. Kadang-kadang geram juga, tapi nak rotan budak tak boleh. Nanti boleh dihadapkan ke mahkamah. Maklumnlah, mak bapak hari ini dah pandai-pandai. Tapi mereka tak ingat macam mana mereka boleh pandai sekarang.

Guru Hari Ini ...
Perlu lebih pandai daripada ibu bapa dan lebih pandai daripada murid-murid. Kalau tak, murid-murid pula yang akan mengajar guru dan ibu bapa pula akan mengarahkan guru. Guru-guru perlu tahu komputer dan kalau boleh 'hand-phone' pun mesti lebih canggih berbanding murid-murid. Kalau tak, murid-murid akan kata, "Hand-phone cikgu boleh buat baling anjing." Guru-guru mesti tahu nak guna e-mel, facebook, tagged, blogspot, friendster dan macam-macam lagi. Laptop cikgu pun mesti ada WIFI dan lengkap dengan broadband. Hand-phone pula mesti ada 3G dan kamera digital 12 megapixel. Kalau tidak, cikgu akan diperlekeh oleh budak-budak.

Guru Hari Ini ...
Memang banyak untungnya. Gaji dah besar, elaun dah banyak. Tempat letak kerata di sekolah pun dah penuh dengan kereta Perdana, Mercedes, Camry, Alphad, Estima, Grand Livina ... dan paling murah pun Persona. Ada sekolah yang terpaksa korbankan padang semata-mata nak tampung tempat letak kereta cikgu. Maklumlah, kereta dah banyak dan besar-besar pulak saiznya. Hebat !!! Tetapi mengajar pun kenalah sehebat gaji yang diterima dan sebesar kereta yang dimiliki.

Semoga hendaknya, Guru Dahulu dan Guru Hari Ini akan bergabung pengalaman, pengetahuan, kepakaran, ilmu dan komitmen untuk memartabatkan profesion keguruan agar terus dipandang mulia dan dihormati oleh masyarakat.

Amin ya rabbal alamin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan